mutakhir

Aminah tetap di hati

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: “Aidilfitri tahun ini disambut secara sederhana saja kerana tarikh ini adalah sama dengan ulang tahun kelima arwah,” kata Norima Mohd Nuzi, 37, ibu kanak-kanak Aminah Mohamad Amin yang meninggal dunia akibat penyakit kanser mata April lalu.

Menurutnya, dia dan suami Mohamad Amin Ahmad, 37, akan mengunjungi pusara Aminah bagi menghilangkan kerinduan terhadap anak istimewa itu di pagi 1 Syawal.

Katanya, sejak pemergian Aminah 2 April lalu, setiap hari mereka tidak pernah gagal ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Pohon Tanjung, Pasir Pekan bagi melepaskan rindu terhadap anak istimewa itu.

“Kami seperti berasa Aminah ternanti-nantikan kedatangan kami dan tidak sanggup membiarkan perasaan itu.

“Selain membacakan surah Yasin di pusaranya, saya akan ‘bercakap’ dengannya kerana terlalu rindu berikutan selama hayatnya arwah berada dengan saya setiap saat,” katanya di rumahnya di Kampung Pasir Pekan Tengah, di sini, semalam.

Norima berkata, rutinnya bersama suami bukan bermaksud mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa anak ketiga dari empat beradik itu sudah pergi menghadap Ilahi, tetapi perasaan rindu yang tidak mampu dibendung terutama suaminya yang rapat dengan Aminah.

“Sehingga kini, kami masih lagi terbayang keletah Aminah yang sibuk membuat persiapan raya.

“Tiada lagi suara yang berulang kali meminta ketupat pulut kerana ia makanan kegemaran arwah dan gelagatnya yang riuh ingin ke rumah sanak saudara untuk berhari raya,” katanya.

Muka depan Harian Metro pada 20 Mac lalu melaporkan Aminah yang menghidap kanser mata sejak berusia enam bulan menyebabkan kedua-dua mata kanak-kanak ini tidak dapat melihat sebelum menjalani pembedahan membuang mata kirinya pada 2014.

Aminah meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada 2 April lalu selepas sel kanser itu merebak ke bahagian otak menyebabkan dia kerap mengalami kekejangan otot.

Norima berkata, sejak awal tahun, dia memasang niat membawa Aminah menunaikan solat Tarawih namun ajalnya terlebih dulu datang menjemput.

“Sejak penghujung tahun lalu, Aminah belajar solat kerana sering menyentuh wajah saya yang memakai telekung sembahyang sebelum bertanya lanjut mengenai ibadat itu,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 6:08am
d