mutakhir

Sedap & murah

Oleh Norazimah Narudin

Johor Bahru: Sedap dan murah adalah pertaruhan peniaga nasi padang dan nasi campur di Bazar Ramadan @mart Kempas, Taman Cempaka, di sini, yang menerima pelanggan tidak putus-putus.

Gerai yang diusahakan Seri Nabila Amira Mokhtar, 24, menjadi tumpuan pengunjung disebabkan kemeriahan makanan yang aneka jenis dan dijual dengan harga murah.

“Saya menjual lauk-pauk dengan harga murah berbanding tempat lain, contohnya nasi padang dengan harga RM5 bagi beberapa jenis lauk termasuk daging. Kalau daging tempat lain harga RM6, di gerai saya baru RM3 ke RM4.

“Saya seronok melihat pelanggan datang berulang membeli lauk yang dijual di tempat saya Dengan menjual harga murah saya dapat juga membantu pelanggan yang terdiri daripada golongan susah,” katanya.

Setiap hari sepanjang Ramadan, Seri Nabila memasak lauk seperti asam pedas, kari kaci, rendang daging, sayur lemak nangka, ikan patin masak lemak cili padi, tetel masak kari dan banyak lagi.

“Setiap hari pelanggan yang datang gemar membeli lauk seperti sayur lemak nangka, asam rebus, rendang ayam dan daging serta nasi padang semestinya, pelanggan memang menunggu menu ini,” kata Seri Nabila yang menerima sumbangan apron dan payung daripada Coca-Cola.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 6:26am
d