mutakhir

Kerjasama dengan IPK negeri lain

Oleh Mohd Sabran Md Sani

 

POLIS Johor bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di negeri lain bagi memburu empat lelaki bersenjatakan pistol yang merompak kedai emas di Tampoi pada Rabu lalu hingga mencederakan pengawal keselamatan di premis terbabit.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kerjasama itu dilaksanakan pihaknya kerana percaya semua suspek sudah melarikan diri ke negeri lain.

Katanya, semua suspek berkenaan diburu dalam Op Tutup dan Op Kesan yang dilancarkan bagi menjejaki kumpulan penjenayah itu, selain meningkatkan risikan serta mengumpul beberapa maklumat penting mengenai mereka.

"Ketika ini, polis masih memburu penjenayah paling dikehendaki itu selepas terbabit dalam kegiatan rompakan secara berkumpulan di premis kedai emas itu.

"Kita percaya dengan operasi yang dilancarkan selain meningkatkan risikan kumpulan penjenayah dengan kerjasama IPK di negeri lain diharap semua suspek dapat ditahan dalam tempoh terdekat," katanya selepas menghadiri Majlis Aidilfitri Balai Polis Gelang Patah, Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan Zulkhairi Mukhtar.

Dalam kejadian pada 7.50 malam itu, sekumpulan empat lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi melarikan barangan kemas dari kedai terbabit yang terletak di sebuah kompleks beli-belah di sini.

Selaras senapang patah milik pengawal keselamatan itu turut dilarikan suspek dalam kejadian berlaku antara dua hingga tiga minit itu.

Polis kemudian melaksanakan Op Tutup serta Op Kesan dijalankan di seluruh negeri ini bagi mengesan semua suspek.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) dan samun berkumpulan menggunakan senjata api.

 

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 3:11pm
d