mutakhir

Siasat kaitan

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

 

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kaitan kes penculikan Pastor Raymond Koh dengan kumpulan seludup senjata api yang ditumpaskan di Lenggong, Baling pada 17 Jun lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dalam kejadian 17 Jun lalu sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9)menembak mati seorang penyeludup senjata api dan dadah selepas kejadian berbalas tembakan di Kampung Weng Dalam menghala Kampung Ulu Lenggong, Baling.

Menurutnya, susulan dari itu, pihaknya menemui sepucuk pistol semi auto jenis Norinco bersama kelopak, lapan peket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 40 gram bernilai RM1,000 dan dua pasang nombor pendaftaran kenderaan masing-masing bernombor WNS 5168 dan BNW 217.

Katanya, pihaknya kemudian membuat pemeriksaan ke atas rumah suspek di Kampung Selarong di Pengkalan Hulu, Perak dan menemui sebatang bom buatan sendiri jenis batang paip, pelbagai jenis peluru hidup dan syabu seberat 250 gram dianggarkan bernilai RM17,500.

"Kami turut menahan tiga ahli kumpulan suspek masing - masing di Kuantan, Kuala Kangsar dan Kota Bharu yang memiliki dua kewarganegaraan, iaitu Malaysia dan Thailand.

"Kami turut menahan isteri suspek, seorang warga Thailand berusia lingkungan 30-an untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Ketua Polis Negara di Mess Pegawai Kanan, Bukit Aman, hari ini .

Menurutnya, polis menemui beberapa keping gambar termasuk gambar rumah Pastor Raymond Koh selain dua keping gambar kenderaan bernombor pendaftaran ST5515D milik Raymond yang diculik sekumpulan lelaki pada 13 Februari lalu.

"Kami percaya kumpulan yang aktif dalam penyeludupan dadah, senjata api dan manusia di sempadan utara tanah air ini mempunyai kaitan dengan kes penculikan Raymond.

" Kini, kami sedang menyiasat mengenainya dan akan memaklumkan perkembangan hasil siasatan dalam masa terdekat, " katanya.

 

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 3:35pm
d