mutakhir

Agih Metro Ahad percuma sempena 1 Syawal

Oleh Nor Amalina Alias

LEBIH 500 jemaah masjid yang selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Mukim Gunung, Bachok mendapat akhbar Metro Ahad secara percuma, hari ini.

Surat khabar itu disumbangkan seorang peniaga yang juga pembekal akhbar, Mohd Shaari Mohd Shariff, 61, yang berniaga kedai surat khabar, fotostat, lesen kenderaan dan ejen insurans di Gunung, di sini.

Shaari berkata, sebanyak 2,000 naskah Metro Ahad dan BH Ahad diagihkan kepada orang ramai di lapan masjid di Bachok antaranya di Masjid Mukim Gunung, Kampung Jelawat, Mujur, Peringat, Pauh Lima dan Melor.

Katanya, tidak sampai setengah jam semua akhar itu habis diagihkan kepada jemaah masjid sebaik selesai solat sunat Aidilfitri.

"Tujuan saya mengagihkan Metro Ahad kerana mahu menggalakkan budaya membaca akhbar dalam kalangan rakyat selain mendapatkan berita daripada sumber yang boleh dipercayai seperti akhbar kerana zaman kini banyak sumber yang digunakan untuk mendapat maklumat seperti internet," katanya yang berniaga di Gunung sejak 30 tahun lalu.

Katanya, dia memilih Metro Ahad kerana akhbar ini menjadi pilihan utama pelanggannya yang menyukai konsep pemberitaan sensasi namun, dekat di hati masyarakat menyebabkan jualannya sentiasa laris di pasaran.

"Ini kali pertama saya agih akhbar percuma sempena 1 Syawal dan mendapat sambutan ramai," katanya yang dibantu anak, Mohd Shafiq Mohd Shaari, 29, dan menantu, Nik Ridzuan Salleh, 38, bagi mengedarkan akhbar berkenaan.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Mukim Gunung, Mohd Yusuf Yaacob berkata, dia menyokong program itu memandangkan dia juga antara pembaca setia Harian Metro dan Metro Ahad.

Katanya, agihan percuma itu menceriakan sambutan Aidilfitri hari ini memandangkan ramai jemaah yang teruja apabila dapat akhbar itu secara percuma.

"Saya antara pembaca tegar akhbar kerana setiap pagi rutin saya adalah baca berita bagi mengetahui perkembangan semasa negara selain bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung sesuatu isu," katanya.

 

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 4:44pm
d