mutakhir

Dua remaja maut

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

 

DUA remaja maut selepas motosikal ditunggang masing-masing berlanggar sesama sendiri sebelum dilanggar pula dengan van di KM40 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, Kota Tinggi, Johor, hari ini.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, Muhammad Azli Azizii Nor Azlisham, 18, maut selepas dilanggar van terbabit, manakala Muhamad Farhan Samsuri, 17, meninggal dunia akibat kecederaan di kepala selepas terhantuk atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila satu daripada motosikal terbabit membuat pusingan U dan sebuah lagi tidak sempat mengelak dan berlanggar sesama sendiri.

"Dua motosikal itu berlanggar dan van pula datang dari arah sama tidak sempat mengelak mangsa yang masing-masing adalah pelajar yang ketika itu sudah terjatuh dan terbaring atas jalan raya.

"Kita percaya kemalangan berpunca akibat dua motosikal iaitu Yamaha 125z dan Honda Wave 100 yang bertembung itu ketika satu daripadanya membuat pusingan U,"katanya.

Beliau berkata, pemandu van yang berusia 37 tahun itu pula tidak cedera.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, Ahsmon mengingatkan semua pemandu supaya mematuhi papan tanda lalulintas dan bersabar sepanjang waktu pemanduan di atas jalan raya.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 5:33pm
d