mutakhir

Tindakan berpatah balik adalah pilihan terbaik

Oleh BERNAMA

TINDAKAN pesawat AirAsia X yang dalam penerbangan dari Perth, Australia ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Perth, semalam, akibat masalah teknikal adalah pilihan terbaik.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, adalah menjadi prosedur biasa untuk sesebuah pesawat berpatah balik jika berkaitan dengan isu-isu teknikal.

“Tindakan berpatah balik adalah pilihan terbaik untuk memastikan keselamatan penumpang serta mengelak kemalangan.

“Sebaik saja terdapat masalah teknikal, syarikat penerbangan perlu mematuhi langkah-langkah keselamatan. Isu keselamatan adalah keutamaan...sebab itu di Malaysia, pihak kawalan trafik udara serta standard Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung keperluan teknikal perlu dipatuhi,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sempena Aidilfitri di Seri Perdana di Putrajaya, semalam.

Sementara itu, AirAsia X dalam satu kenyataan semalam berkata, pesawat D7237 dengan 359 penumpang berlepas jam 7 pagi (waktu tempatan) dari Perth menuju ke Kuala Lumpur tetapi terpaksa berpatah balik dan selamat mendarat di Lapang Terbang Perth pada jam 10 pagi.

AFP semalam melaporkan seorang penumpang ketika ditemui berkata, dia mendengar bunyi kuat dan pesawat itu bergegar seperti sebuah mesin basuh.

Pesawat Airbus A330 dari Perth itu mula dikesan mengalami masalah kira-kira 90 minit selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.

Jurucakap lapangan terbang itu berkata, kerosakan terbabit disedari juruterbang pesawat dan memutuskan untuk berpatah balik ke Perth.

"Ia disahkan sebagai kerosakan teknikal. Pasukan kecemasan diarahkan bersiap sedia susulan kejadian itu tetapi tiada sebarang perkara lebih serius berlaku,” katanya.

Ini adalah kali kedua membabitkan pesawat Airbus A330 di Australia bulan ini, selepas sebuah pesawat milik China Eastern membuat pendaratan cemas di Sydney. Ia susulan penemuan sebuah lubang besar pada penutup enjin pesawat terbabit.

Disiarkan pada: June 26, 2017 @ 1:08pm
d