mutakhir

2 lagi pusat pemindahan dibuka

Oleh BERNAMA

JUMLAH mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 149 orang setakat 4 petang berbanding 124 orang pagi tadi, dengan dua lagi pusat pemindahan dibuka iaitu di Alor Gajah dan Jasin menjadikan empat pusat pemindahan beroperasi setakat ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt. Kol (PA) Effendy Ali berkata, dua pusat pemindahan baharu itu ialah Balai Raya Kampung Pulau di Alor Gajah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin.

“Di daerah Alor Gajah, Balai Raya Bukit Tambun kekal dengan 87 mangsa merangkumi lapan keluarga, Balai Raya Bukit Balai melibatkan 40 mangsa daripada enam keluarga, manakala Balai Raya Kampung Pulau seramai 15 mangsa merangkumi lima keluarga.

“Di daerah Jasin, tujuh mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di SK Tehel,” katanya dalam kenyataan.

Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, berkata, kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang melanda sejak tengah malam tadi sehingga menyebabkan air Sungai Durian Tunggal, Sungai Melaka dan Sungai Tehel melimpah dan membanjiri lima kawasan dalam tempoh lima hingga tujuh jam kemudian.

“Lima kawasan yang dilanda bencana itu ialah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau di Alor Gajah dan Kampung Tanjung Laboh dan Kampung Parit Lampong di Jasin” katanya.

Beliau berkata, setakat ini cuaca dilaporkan baik dan keadaan banjir masih terkawal.

Disiarkan pada: June 26, 2017 @ 7:40pm
d