mutakhir

Padah miliki dokumen palsu

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

TEKONG dan enam awak-awak warga Thailand ditahan hari ini kira-kira 12 batu nautika dari perairan Tanjung Gelang, Kuantan kerana memiliki dokumen pengenalan diri palsu serta tiada permit kerja sah.

Pengarah Maritim Wilayah Maritim Timur Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Datuk Mamu Said Alee berkata, semua mereka berusia 32 hingga 42 tahun ditahan selepas pihaknya melakukan rondaan di perairan berkenaan sebelum memeriksa bot nelayan yang dalam keadaan mencurigakan.

"Kapal ronda APMM, KM Rentap dalam Operasi Pagar Laut di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) membuat pemeriksaan ke atas bot berkenaan sebelum mendapati dokumen pengenalan diri yang dikemukakan mereka (nelayan) meragukan selain seorang awak-awak tidak mempunyai permit kerja.

"Pemeriksaan turut menemui hasil tangkapan pelbagai jenis ikan dianggarkan seberat lima tan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke jeti APMM di Pangkalan Maritim Kemaman, Terengganu dan disiasat di bawah Akta Pasport 1966 dan Akta Perikanan 1985.

Katanya, operasi dan rondaan seumpama itu sentiasa dijalankan pihaknya bagi membanteras kegiatan pencerobohan perairan negara oleh nelayan dan bot asing terutama pada musim perayaan ini.

Menurutnya, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat boleh menghubungi terus Pusat Operasi Maritim Wilayah Timur yang beroperasi 24 jam di talian 09-5717345 atau melalui MERS 999.

Disiarkan pada: June 26, 2017 @ 10:32pm
d