mutakhir

Terkejut dengar cermin pecah

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PINTU gelongsor hadapan dan barang perhiasan dalam rumah teres dua tingkat milik pembantu syarikat kontraktor perumahan rosak akibat terkena satu das tembakan di Taman Simpang Murni, Taiping, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, kejadian pada 9.50 malam dipercayai dilakukan lelaki menaiki motosikal yang melepaskan tembakan dari luar pagar rumah lelaki terbabit.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa berusia 60 tahun bersama isterinya berusia 56 tahun berada dalam rumah, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Berdasarkan keterangan, mangsa dikejutkan dengan bunyi cermin pecah semasa dia dan isteri berada dalam rumah.

“Mangsa kemudian melihat ke luar rumah dan dalam keadaan agak gelap ternampak seorang lelaki menaiki motosikal memecut laju dari kawasan depan rumahnya," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, mangsa kemudian memeriksa kawasan depan rumah dan menemui kesan lubang tembakan di cermin pintu gelongsor depan yang menembusi sehingga mengenai almari hiasan di ruang tamu.

"Siasatan polis mendapati lelaki itu bertanggungjawab menguruskan 50 lori milik syarikat dan isterinya pula adalah suri rumah serta tiada penghuni lain di rumah terbabit.

"Unit Forensik turut menemui kesan tembakan di pagar tepi rumah itu dan satu kelongsong peluru," katanya.

Katanya, tempat kejadian dan kawasan berhampiran tiada kamera litar tertutup (CCTV), selain tiada saksi melihat kejadian berkenaan.

"Polis sedang mengenal pasti motif sebenar kejadian, dan mangsa mendakwa tidak mempunyai musuh, tidak berhutang serta tidak terbabit dalam apa-apa aktiviti salah.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di kawasan awam," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2017 @ 10:40pm
d