mutakhir

'Paling rindu pengumuman raya'

Oleh Mazizul Dani

KUIH tat nenas dan pengumuman Aidilfitri secara langsung oleh penyimpan mohor besar raja-raja antara yang dirindui penuntut Malaysia di United Kingdom.

Antaranya, Muhammad Lutfi Othman, 23, penuntut Sarjana Muda Bioteknologi di Edinburgh University, Scotland yang sudah empat tahun menyambutnya di sana.

"Saya rindu keluarga, makanan, kuih raya seperti tat nenas tapi paling penting pengumuman raya yang saya paling rindu.

"Sambutan tak meriah sebab lepas sembahyang raya, makan... dah, itu saja raya kita. Kalau di Malaysia, kita sambut raya dengan keluarga, sanak saudara pergi rumah ke rumah.

"Menariknya, semasa saya di Edinburgh saya dapat menziarahi rakan muslim saya iaitu seorang warga Pakistan. Jadi saya dapat makan nasi beriani dan tandori. Sangat sedap," katanya yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.

Beliau dihubungi Harian Metro semalam selepas meraikan Aidilfitri di Malaysia Hall di London bersama lebih 300 rakyat Malaysia di sana.

Selepas selesai solat sunat Aidlfitri pada 1 Syawal, mereka kemudian menjamu selera juadah istimewa raya seperti rendang, ketupat dan lemang.

Sementara itu, penuntut Sarjana Sains Kejuruteraan untuk Pembangunan Antarabangsa di University College London, Syed Mohamed Arif Syed Abdul Rahim, 25, mengakui sambutan di sana kurang meriah.

"Pastinya di sini tidak semeriah Malaysia, kurang 'open house', kurang duit raya tapi sebab kawan-kawan di sini membuatkannya sedikit meriah berbanding jika kita sendirian.

"Bila saya menggunakan pengangkutan awam, pemakaian songkok dan baju melayu membuatkan orang tertanya-tanya kami dari mana. Bila sebut Malaysia kita bangga sebab pakaian kita menarik perhatian mereka," katanya yang berasal dari Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

Sambutan di sana pula agak meriah bagi Nadirah Karim, 24, disebabkan usaha komuniti Malaysia yang mengadakan majlis untuk mereka berkumpul.

"Mestilah saya rindu keluarga. Saya tak dapat bangun dan bersalaman dengan ibu bapa saya. Tetapi tidak mengapa, sekarang ini ada Skype, jadi dapat berhubung dengan mereka.

"Saya bangga bila dapat pujian daripada orang luar ketika saya dan rakan berjalan di sekitar London dengan berpakaian tradisional Melayu. Mereka puji cantik," katanya yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.

Ini adalah tahun pertama Nadirah menyambut Aidilfitri di London selepas mengikuti pengajian Sarjana Hubungan Antarabangsa di King's College London.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 12:42am
d