mutakhir

KPM lancar siasatan

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuala Lumpur: Gelagat sekumpulan pelajar berpakaian seragam sekolah menari terhuyung-hayang dipercayai dalam keadaan mabuk yang dirakam di sebuah kawasan tidak diketahui dan tular di media sosial sejak Khamis lalu mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Timbalan Menterinya, Datuk P Kamalanathan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai rakaman yang tular itu dan sedang menyiasat lokasi serta pelajar yang terbabit dalam rakaman video berdurasi 2 minit 30 saat itu.

“Kami masih menyiasat bagi mengetahui keadaan sebenar kejadian itu, waktu kejadian dan siapa yang terbabit bagi mengetahui sama ada wujud unsur buli dalam rakaman itu.

“Kementerian memandang serius kes buli di sekolah dan cuba mengatasi masalah buli dalam kalangan pelajar. Satu yang pasti ialah kejadian berlaku di luar sekolah. Di kawasan yang masih belum diketahui,” katanya.

Klip video itu dimuat naik di laman Facebook Tamiliar Kural petang Khamis lalu, dengan kira-kira lapan pelajar lelaki melepak dalam sebuah pondok di kawasan yang tidak diketahui kelihatan seperti di kawasan terpencil.

Seorang remaja dalam rakaman itu dilihat berdiri terhuyung-hayang seperti menari kerana berkemungkinan mabuk manakala dua temannya lagi berada di sampingnya. Rakaman ini dipercayai dirakam seorang lelaki berbaju merah dengan seorang lagi rakannya turut merakam kejadian sama.

Pelajar dalam rakaman itu berkomunikasi dalam bahasa Tamil dan masing-masing meminta remaja yang mabuk itu menari. Mereka juga dipercayai ponteng sekolah dengan seorang daripada mereka memaklumkan kejadian itu adalah pada jam 10 pagi.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 12:05pm
d