mutakhir

Tabung 'masa depan'

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: Muhammad Zil Farhan Idris, 20, yang berasal dari Taman Seroja Jaya, Parit Kangkong, di sini, ada cara untuk berhenti melepak iaitu dengan melakukan kerja sampingan menjual tabung dihasilkan daripada tong gas pendingin udara mini.

“Saya ingin mengurangkan kekerapan keluar malam dan melepak bersama rakan. Dalam keadaan sekarang, saya perlu berhemah berbelanja dan bagi menambah pendapatan, saya menghasilkan tabung ini.

“Saya menjualnya pada harga RM30 bagi yang tidak bercorak dan RM50 bagi yang bercorak,” katanya.

Menurut Muhammad Zil Farhan yang bekerja sebagai penghantar barang, sejak terbabit dalam bidang itu lima bulan lalu, dia menjual lebih 80 tabung.

“Saya mendapatkan tong gas pendingin udara mini ini di kedai alat ganti dan pada mulanya, sambutan hambar namun berkat sokongan keluarga dan rakan, saya berusaha lebih keras untuk memasarkannya.

“Syukur kerana rezeki semakin bertambah malah ada kalanya saya tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Menurut Muhammad Zil Farhan, dia akan terus terbabit dengan bidang berkenaan kerana ia bukan saja menambah pendapatan, malah mendisiplinkannya.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 12:13pm
d