mutakhir

Badan jadi kejang

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: “Apabila ia menyerang terutama ketika tidur, seksanya hanya Tuhan yang tahu dan ada tahap hingga saya terkencing-kencing di tempat tidur,” kata Mariam Mohamad, 53, yang menderita penyakit sawan sejak 21 tahun lalu.

Ibu tunggal yang hidup bersendirian di Gunung Rapat, di sini, bergantung kepada ubat bagi mengelak serangan sawan dan mengaku ingatannya semakin kurang susulan penyakit itu hingga sering terlupa mengambil ubat.

“Setiap kali kena sawan seluruh badan saya menjadi kejang dan serangan itu agak lama hingga hampir 10 minit.

“Keadaan ini menyebabkan kesihatan saya semakin terjejas termasuk ingatan berkurangan termasuk sering lupa makan ubat dan ia punca saya sering diserang sawan yang boleh membahayakan nyawa tambahan saya tinggal sendirian, ” katanya ketika ditemui.

Mariam ditemui ketika menerima bantuan barangan keperluan harian yang disampaikan Presiden Persatuan Bolasepak India Perak Datuk Amaluddin Mohd Ismail di Masjid India Muslim Ipoh.

Katanya, dia mempunyai dua anak iaitu perempuan berusia 36 tahun yang sudah berkahwin dan mengikut suami manakala anak bongsu lelaki berusia 21 yang kini belajar di sebuah kolej di ibu negara.

“Suami saya yang bekerja dengan syarikat kapal di Pulau Pinang meninggal dunia 16 tahun lalu dan anak kini tinggal berjauhan manakala saya hanya menyara dengan wang Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) arwah suami iaitu RM640 sebulan.

“Januari lalu, saya ditimpa musibah lain apabila kaki kanan patah akibat terjatuh, namun sekarang beransur pulih, tetapi masih lagi bengkak dan keadaan itu menyukarkan pergerakan saya,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 12:19pm
d