mutakhir

Bakar dua motosikal

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Rembau: Polis menahan 11 remaja lelaki yang terbabit dalam pergaduhan hingga menyaksikan dua motosikal turut dibakar di Kampung Batu, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Ibrahim Shariff berkata, kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi apabila seramai 39 remaja lelaki sebelum itu dipercayai terbabit dalam perlumbaan motosikal haram di Jalan Seremban-Tampin berhampiran Chengkau, di sini.

Menurutnya, ketika perlumbaan itu sekumpulan 30 remaja terbabit turut mengutuk sekumpulan sembilan remaja lain menyebabkan berlaku perselisihan faham antara mereka sehingga berlarutan kepada pergaduhan.

Katanya, menyedari kumpulan lawan begitu ramai menyebabkan sembilan remaja terbabit memanggil 15 rakan mereka yang datang membawa parang serta kayu.

“Keadaan bertambah kecoh apabila kumpulan yang baru tiba turut membawa senjata menyebabkan 30 remaja terbabit melarikan diri. Sewaktu mahu meninggalkan lokasi, kumpulan 30 remaja itu bertindak membakar dua motosikal milik lawan mereka.

“Polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati dua motosikal terbakar sebelum menahan 11 remaja lelaki berusia 16 hingga 36 tahun untuk siasatan,” katanya.

Katanya, pihaknya sedang memburu saki baik kumpulan terbabit untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan khianat.

“Kejadian ini sungguh menyedihkan kerana mencemarkan sambutan Aidilfitri,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 12:22pm
d