mutakhir

Dua maut tercampak dari kereta

Oleh Muhammad Apendy Issahak

DUA maut selepas tercampak dari kereta dinaiki dan dua lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Kamunting Lama di hadapan Kem Sangro, Taiping, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 5.37 pagi itu, kemalangan membabitkan kereta jenis Audi A5 dan Proton Saga.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, dua lelaki yang maut dikenali sebagai S Yugandren, 27, beralamat di Kamunting, Taiping dan M Kalidadan, 25, juga dari daerah sama.

"Hasil siasatan awal mendapati Audi A5 dipandu lelaki berusia 47 tahun dalam perjalanan dari Batu Kurau ke Taiping, manakala Proton Saga pula dari arah bertentangan dinaiki tiga lelaki.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Saga berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan hingga mengakibatkan pemandu Audi A5 gagal mengelak lalu dua-dua kenderaan itu berlanggar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, dua penumpang Proton Saga tercampak keluar dari kereta dan maut di tempat kejadian, manakala pemandunya, S Sivanesan, 26, cedera di kepala dan pemandu Audi A5 pula hanya cedera di tangan kanan.

"Mayat dihantar ke Hospital Taiping untuk dibedah siasat dan mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 12:31pm
d