mutakhir

Pasukan khas siasat rompakan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menubuhkan pasukan khas bagi membuat siasatan awal dan mendapatkan maklumat terperinci berhubung rompakan minyak kapal tangki Thailand, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Datuk Indera Zulkifli Abu Bakar berkata, langkah itu diambil sebagai tindakan susulan berhubung insiden berkenaan.

"APMM berhubung dengan pihak berkuasa Thailand iaitu Pusat Penyelarasan dan Penguatkuasaan Thailand bagi mengkoordinasikan siasatan.

"Kami juga akan bekerjasama dengan penguatkuasa dari negara jiran lain seperti Angkatan Laut Armada Barat Indonesia dan Singapore Police Coast Guard (SPCG) bagi berkongsi maklumat dan hasil risikan untuk mencegah insiden sama berlaku," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Indera berkata, pihaknya sudah menggerakkan aset serta meningkatkan rondaan menggunakan kapal dan pesawat di lokasi panas dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

"Kami percaya insiden seumpama ini dapat diatasi dengan kerjasama semua pihak termasuk pihak perkapalan dengan memaklumkan sebarang kejadian dengan segera agar aset dapat dikerahkan ke lokasi.

"Dalam kes ini, APMM hanya dimaklumkan berhubung kejadian itu selepas hampir 21 jam insiden berlaku. Namun dengan pengalaman mengendalikan kes seumpamanya sebelum ini, kami yakin dapat mengatasi insiden sama daripada berulang," katanya.

Dalam kejadian 23 Jun lalu, 1.5 juta liter diesel dirompak daripada kapal tangki Thailand 'CP 41' di 25 batu nautika timur Kuantan, Pahang.

Berita berkaitan:

Kapal tangki Thai disamun lanun

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 9:35pm
d