mutakhir

Rumah enam beranak dua kali dinaiki bah

Oleh Hasbullah Azhar

Alor Gajah: Sambutan Aidilfitri tahun ini agak suram buat enam beranak apabila rumah mereka di pekan Durian Tinggal, di sini, dilanda banjir kilat sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu.

Mangsa Siti Fadilah Nordin, 33, berkata kejadian pertama berlaku Jumaat lalu, namun ketika itu dianggap tidak serius berikutan air tidak melimpah ke dalam rumah.

“Kejadian semalam (kelmarin) antara paling teruk kerana air naik hingga ke paras pinggang menyebabkan saya tak sempat menyelamatkan perabot, peralatan elektrik dan kuih raya untuk dihidangkan kepada tetamu.

“Saya tak jangka banjir akan berulang kerana baru saja berlaku, jadi persiapan menyambut Aidilfitri dilakukan seperti biasa,” katanya yang ditemui ketika sedang membersihkan rumahnya, semalam berikutan cuaca yang mula cerah.

Siti Fadilah bersama suaminya Mohd Firdaus Luya, 38, dan empat anak berusia lima hingga 13 tahun kini masih berada di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Balai Raya Durian Tunggal, terletak berhampiran kediamannya.

Menurutnya, pada jam 1.30 pagi kelmarin, dia yang sedang tidur dikejutkan oleh suami berikutan halaman rumah mereka mulai dinaiki air.

Katanya, dia dan ahli keluarga tidak sempat berbuat apa-apa berikutan air naik sehingga ke paras pinggang dalam masa 20 minit sahaja.

“Suami memberanikan diri meredah banjir sambil membawa empat anak untuk menyelamatkan diri ke balai raya tanpa menghiraukan kelengkapan dalam rumah,” katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 9:27am
d