mutakhir

Wanita Nepal maut, 2 parah kereta rempuh pokok

Oleh myMetro

Nilai: Seorang wanita warga Nepal maut, manakala dua rakan senegaranya parah apabila kereta dinaiki merempuh sebatang pokok akibat terbabas di Jalan Persiaran Ilmu, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, dalam kejadian jam 6 pagi, mangsa Radika Basnet, 30, bersama dua rakan lelakinya Bishnu Nepali, 26, dan Dong Tamang Buddha Bahadur, 27, menaiki kereta Proton Wira.

Katanya, mereka dipercayai dalam perjalanan dari arah Mantin menuju Jalan Persiaran Perbandaran, di sini, sebelum kereta dipandu Radika hilang kawalan.

“Akibat itu kenderaan terbabit memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan menyebabkan Radika maut di lokasi manakala dua rakannya parah,” katanya.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk tindakan lanjut, manakala dua rakannya menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga mangsa bekerja di sebuah kilang di daerah ini dan menaiki kenderaan untuk bersiar-siar.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 9:38am
d