mutakhir

Nasib baik sempat selamat [METROTV]

Oleh Nur Saliawati Salberi

SEEKOR penyu seberat lebih 70 kilogram ditemui terperangkap di sebalik tambakan batu di Pantai Pulau Melaka, di sini, pagi semalam.

Haiwan berkenaan ditemui kira-kira jam 11 pagi oleh sekumpulan tujuh kaki pancing.

Kaki pancing yang ingin dikenali sebagai Ah Song, 50, berkata, kehadiran haiwan itu disedari ketika sedang memancing apabila seorang daripada mereka menjerit ternampak penyu.

“Mulanya terkejut apabila ada yang menjerit ada penyu kerana setahu saya di situ bukan tempat persinggahan penyu bertelur tetapi apabila diamati ia sebenarnya terperangkap di sebalik tambakan batu yang agak tinggi.

"Mungkin ia dibawa oleh arus deras ketika air pasang dan terperangkap apabila air surut. Mulanya kami cuba mengangkatnya untuk dibawa keluar namun disebabkan saiznya yang besar serta berat kami gagal berbuat demikian," katanya di Melaka, hari ini.

Ah Song berkata, bimbang ia akan mati jika terperangkap lama di situ dia kemudian meminta bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membawa haiwan berkenaan keluar.

Sementara itu, Pegawai Operasi APM Melaka Tengah Leftenan Mohd Kamil Hassan berkata, sebaik menerima panggilan pada jam 5.44 petang, sepasukan empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Anggota APM terlebih dahulu bertindak menenangkan penyu berkenaan sebelum memindahkannya untuk dibawa keluar.

"Kerja memindahkannya dibuat dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengelak berlakunya kecederaan memandangkan saiznya yang agak besar dan ia kemudian dilepaskan semula ke laut," katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 3:29pm
d