mutakhir

Pencapaian terbaik sejak 2007

Oleh Siti Fatimah Hassan

PENCAPAIAN Malaysia dikeluarkan dari Tahap 2 Pengawasan selepas dinaikkan ke Tahap 2 dalam Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang 2017 (US TIP Report) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS), semalam adalah yang terbaik sejak 2007.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, ia adalah hasil komitmen ahli Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) menerusi Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"JNAS juga mengalu-alukan usaha Malaysia mengukuhkan kerjasama antara agensi dalam aspek siasatan menerusi penubuhan Pasukan Petugas Khas Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

"Bagi memperbaiki usaha membanteras jenayah ini orang pada masa depan, Malaysia disyorkan memperbaiki pelaksanaan peraturan yang dikuatkuasakan melalui pindaan Akta ATIPSOM 2015 terutama kebenaran bekerja dan bergerak bebas kepada mangsa," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya, hari ini.

Alwi yang juga Pengerusi MAPO berkata, penilaian yang dilakukan itu membabitkan 187 negara melalui tiga komponen utama iaitu pendakwaan, perlindungan dan pencegahan.

Bagaimanapun katanya lagi, Malaysia perlu menambah baik dari aspek perlindungan terhadap mangsamelalui kolaborasi strategik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi pelaksanaan program kepada mangsa termasuk penyediaan rumah perlindungan tambahan serta memberi layanan berdasarkan hak asasi manusia.

"Kerajaan menyambut baik pembabitan NGO dalam aspek perlindungan mangsa termasuk pelantikan 12 individu sebagai pegawai pelindung.

"Sebagai menzahirkan keterbukaan kerajaan, sumbangan kewangan akan disalurkan kepada dua NGO yang dikenal pasti untuk menguruskan rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang bermula Julai ini," katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 8:42pm
d