mutakhir

Perlu dipertahankan [METROTV]

Oleh Asrizal Aris

Gambar/Video Saiful iskandar

 

PERKEMBANGAN dunia digital menyebabkan beberapa syarikat komik kartun tempatan terpaksa gulung tikar sehingga menyebabkan industri yang pernah menjadi fenomena di negara suatu ketika dahulu berdepan zaman kegelapan.

Karya seperti Gila-Gila, Ujang, Lanun, Gelihati dan APO pernah membibitkan kehangatan luar biasa kepada industri majalah kartun humor negara namun hanya Gila-Gila sahaja yang kekal bertahan dan muncul antara komik tertua di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, karier sebagai kartunis masih lagi relevan pada masa kini dalam mempersembahkan karya yang menekankan humor bijak yang menyampaikan mesej tersendiri kepada masyarakat. 

Pengarah Urusan Creative Enterprise Sdn Bhd yang juga pelopor majalah humor tanah air, Jaafar Taib berkata, masa depan penggiat komik masih boleh mencapai era kegemilangan seperti dahulu namun memerlukan evolusi. 

Katanya, meskipun arus permodenan memaksa anak muda memilih media baru untuk berhibur dengan kartun, tetapi masih ada segelintir masyarakat yang tegar untuk membaca majalah kartun di media cetak.

"Kita tidak boleh biar ia (komik kartun) 'pupus'. Saya sendiri kena pertahankan agar legasi komik kartun yang mempersembahkan budaya negara kita tidak lenyap walaupun saya sudah tiada nanti. 

"Majalah kartun tempatan masih ada peminat sendiri dan ia memberi pengajaran yang bermanfaat dalam bentuk humor berbanding pengaruh segelintir kartun barat masa kini yang dilihat seperti tidak sesuai untuk golongan kanak-kanak," katanya.

Menurut Jaafar, majalah humor nasional pernah menjadi kebanggaan kepada negara suatu ketika dahulu dan ia perlu dipertahankan oleh generasi kartunis masa kini.  

Ahli Lembaga Balai Seni Negara, Prof Dr Muliyadi Mahamood berkata, karya kartun di negara ini masih lagi berkualiti tinggi selagi berpegang kepada tiga konsep iaitu menghibur, mengajar dan menyedarkan.

"Industri komik kartun ini saya lebih suka memikirkan kesesuaian bahan itu kepada perkembangan kanak-kanak kerana mereka adalah golongan sasaran.

"Ia bukan sekadar untuk menghiburkan pembaca, malah memberi kesedaran mengenai sesuatu isu atau masalah sosial yang berbangkit.

"Oleh itu industri kartun ini adalah penting dan bukan bidang yang boleh dipinggirkan begitu sahaja," katanya yang juga pensyarah di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Menurut Muliyadi, komik kartun tempatan masih relevan meskipun berdepan cabaran teknologi baru dalam menyampaikan mesej pintar dan mempunyai kelebihan tersendiri.  

Katanya, ia boleh terus berkembang melalui sokongan kerajaan dalam menghargai karya kartunis tempatan seperti mewujudkan Muzium Kartun Negara.  

 

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 9:00pm
d