mutakhir

Kantoi curi kabel

Oleh Omar Osman

PUNCA kekerapan talian telefon terputus dekat Bandar Perdana, Sungai Petani, sejak beberapa bulan lalu akhirnya terjawab apabila lelaki dicekup mencuri kabel Telekom Malaysia (TM), hari ini.

Kejadian berlaku 4.50 petang apabila penduduk taman terbabit merasa curiga kehadiran lelaki berusia 20 tahun itu di kawasan perumahan berkenaan dan membuat intipan sebelum melihat suspek memotong kabel.

Menurut sumber, selepas memotong kabel itu suspek menyorokkannya berserta alat pemotong di dalam semak di lorong belakang rumah dan sebaik menyedari kegiatannya dikesan orang ramai, cuba melarikan diri.

Katanya, penduduk mengejar suspek dan menahannya. Hasil pemeriksaan di kawasan semak itu menemui dua gulung kabel TM yang dipotong bersama alat pemotong besi.

"Orang ramai kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis dan sepasukan anggota Kereta Peronda (MPV) bergegas ke tempat kejadian.

"Suspek kemudian diserah kepada polis bersama dua gulung kabel TM serta alat pemotong besi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sumber berkata, suspek dipercayai ahli Geng Naim yang aktif mencuri label TM di sekitar Sungai Petani.

Keterangan gambar

1. ANGGOTA polis menahan suspek pencuri kabel TM di Bandar Perdana, Sungai Petani.

2. GULUNGAN dawai telefon milik TM yang ditemui siap dipotong dan disorok oleh suspek di dalam semak.

3. ALAT pemotong besi digunakan suspek untuk memotong dawai telefon TM di Bandar Perdana,

Sungai Petani. gambar: ihsan pembaca

#kw lelaki ditangkap, curi kabel TM

#loc 5.6087229999999986, 100.50639700000001

-tamat-

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 11:58pm
d