mutakhir

Keluarga banduan dibenar jumpa 20 minit

Oleh myMetro

Kuantan: Program Perjumpaan Khas Raya di Penjara Penor, di sini, selama dua hari memberi peluang kepada lebih 350 ahli keluarga bertemu dengan banduan dalam masa 15 hingga 20 minit.

Timbalan Penguasa Penjara Penor, Sabri Mat Saad berkata, program bermula 8.15 pagi hingga 4.15 petang itu hari ini dan semalam memberi peluang ahli keluarga memberi banduan kuih raya termasuk juadah disediakan pihak penjara.

Menurutnya, pada program itu ahli keluarga seramai lima orang hanya dibenarkan bercakap secara bergilir-gilir dengan banduan menggunakan talian telefon dalam bilik khas dalam penjara.

Katanya, hanya banduan beragama Islam dibenarkan bertemu ahli keluarga mereka pada program diadakan setiap tahun itu bertujuan menceriakan sambutan Aidilfitri.

“Peluang banduan bertemu ibu, bapa, isteri dan anak diharap memberi keinsafan kepada mereka terhadap kesilapan dilakukan sebelum ini hingga menyebabkan mereka dikenakan hukuman penjara.

“Kunjungan ahli keluarga juga membuktikan mereka simpati dan menyayangi banduan yang turut dapat menjadi dorongan kepada golongan berkenaan insaf seterusnya tidak mengulangi kesilapan lalu,” katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2017 @ 9:50am
d