mutakhir

Termakan umpan 'janji kaya'

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Pelaburan kaya ke miskin. Itu nasib yang dialami 50 individu warga Taiwan selepas terpedaya dengan skim pelaburan yang ditawarkan tidak indah seperti namanya JJ Poor To Rich (JJPTR).

Ini berikutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kelmarin menerima laporan daripada seorang lelaki warga Taiwan yang mewakili 50 pelabur berhubung skim pelaburan JJPTR yang beroperasi di Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, laporan dibuat kira-kira jam 2 petang kelmarin di Balai Polis Dang Wangi.

“Satu laporan oleh seorang lelaki warga negara Taiwan mewakili 50 pelabur yang lain bagi pelaburan JJPTR.

“Pengadu membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi jam 2 petang semalam (kelmarin) dan laporan terbabit dirujuk kepada IPD Timur Laut, Pulau Pinang,” katanya.

Sebelum ini syarikat pelaburan itu mula menjadi perhatian media sejak April lalu selepas pengasasnya, Johnson Lee mendakwa akaunnya digodam sehingga mengakibatkan kerugian lebih AS$50 juta (RM217 juta).

Difahamkan, puluhan ribu ahli JJPTR diminta untuk melabur AS$25 hingga AS$1,000 (RM110 - RM4,400) dan menjanjikan pulangan bulanan 20 peratus.

Skim itu dipercayai menjalankan operasi perniagaan yang menimbulkan keraguan membabitkan skim pelaburan berasaskan perniagaan tukaran mata wang asing dan mengaut keuntungan berbilion ringgit hasil wang dilaburkan mangsa.

Difahamkan, dalang utama serta pengasas pelaburan itu, Lee Choong Sen atau dikenali sebagai Johnson Lee ditahan bersama pembantu peribadi dan orang kanannya berdekatan Balai Polis Petaling Jaya, jam 4.30 pagi 16 Mei lalu.

Mohd Sukri berkata, selain laporan lelaki berkenaan, pihaknya sehingga kini tidak menerima laporan daripada mana-mana pihak berhubung skim berkenaan.

Disiarkan pada: June 29, 2017 @ 10:11am
d