mutakhir

Biarpun setahun berlalu

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: “Setiap kali rindukan arwah, akhbar Harian Metro inilah yang akan saya jadikan sebagai bahan melepaskan rindu,” kata Napsiah Shakir, 55, ibu kepada Basri Gunawan, 19, remaja yang maut dalam kemalangan di Kilometer 32, Jalan Yong Peng–Kluang pada 6 Julai lalu iaitu Aidilfitri pertama, tahun lalu.

Turut maut dalam kemalangan ngeri itu dua rakan karibnya, Muhamad Nabil Fahmi Bakhtiar, 17, dan Muhamad Nor Fitri Mohamad Sabtu, 19, manakala seorang lagi mangsa yang berada di dalam kenderaan sama, Nur Muhamad Amin Saiman, 19, cedera parah.

Napsiah berkata, Basri yang juga anak kedua daripada empat beradik adalah orang yang paling sibuk setiap kali menjelang hari raya, malah segala kerja membersihkan rumah, menyusun perabot dan memasang langsir menjadi keutamaannya.

“Namun raya tahun ini semua itu hanya tinggal kenangan malah sesekali terbayangkan seolah- olah arwah masih membuat kerja itu walaupun kini tugas itu diambil alih dua orang adik perempuannya.

“Kami sekeluarga memang terasa kehilangannya apatah lagi pada hari raya seperti ini yang kebiasaannya akan berkumpul membuat persiapan sama ada membersihkan rumah mahupun memasak juadah yang akan dihidangkan kepada tetamu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Melati, Paloh di sini, semalam.

Menceritakan detik malang itu, Napsiah berkata, arwah menunjukkan kegembiraan luar biasa ketika bersama rakan dikenalinya sejak sekolah rendah.

Disiarkan pada: June 29, 2017 @ 10:34am
d