mutakhir

Air mata keluarga tahanan

Oleh Zaid Salim

Kuala Nerus: “Walaupun dia jauh tetapi saya rasa dia dekat, malah saya dan anak dapat memohon maaf dengannya walaupun hanya menerusi telefon,” kata Nurul Huda Yatim, 43, isteri kepada Abdul Rashid Nik, 52, nelayan yang ditahan kerajaan Indonesia kerana menceroboh perairan negara jiran itu April lalu.

Nurul Huda berkata, dia sedih sebaik mendengar ucapan ampun dan maaf daripada suami menyebabkan dia dan lima anak, Mohamad Hamizzul Kamal, 25, Nur Syahirah, 23, Umi Najihah, 20, Nur Iman Solehah, 18, dan Umi Darwisyah, 8, menitiskan air mata.

Menurut Nurul Huda, dia bersyukur kerana sejak ditahan, sebagai ketua keluarga, Abdul Rashid tidak pernah melupakan tanggungjawabnya dan sentiasa mengambil berat hal keluarga dengan bertanyakan khabar menerusi telefon.

“Setiap jam dia hubungi saya dan bertanyakan hal keluarga. Pada pagi raya, jam 6 pagi dia dah hubungi saya dan mengingatkan kami anak-beranak ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri.

“Suami berpesan mengunjungi rumah arwah ibu dan bapanya di Kampung Seberang Takir walaupun tanpa dia (suami),” katanya ketika beraya di rumah keluarga suami di Kampung Seberang Takir, semalam.

Nurul Huda berkata, suaminya kini kurang sihat malah pagi tadi sebelum solat dia mengadu pening kepala dan hampir pitam.

Sebagai isteri, dia sedih kerana tidak berada di sisi suami ketika sakit, malah sentiasa mendoakan kesihatan suami selain mengharapkan Abdul Rashid segera pulang ke pangkuan keluarga.

Berkongsi kisah sambutan hari raya suaminya di pusat tahanan sementara di Pulau Terempa, Indonesia, Nurul Huda berkata, dia bersyukur walaupun berada sebagai tahanan, suaminya tetap menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama jemaah lain dan memakai baju baru pemberian masyarakat di pulau berkenaan.

“Selepas solat, suami dan jemaah Islam lain berkunjung ke rumah ustaz yang dipanggil haji di sana untuk jamuan hari raya,” katanya.

Nurul Huda berkata, dia tidak menafikan rasa berdebar menunggu keputusan bakal dikenakan ke atas suami dan tidak putus berdoa semoga tindakan penjara dikenakan dalam tempoh yang singkat.

Menurut Nurul Huda, suaminya sepatutnya dibicarakan pada 3 Julai tetapi ditangguhkan ke 10 Julai ini.

Abdul Rashid bersama empat awak-awak termasuk seorang warga Thailand ditahan kapal tentera Indonesia jam 11.30 tengah hari, 8 April lalu selepas bot mereka naiki tanpa disedari tersasar melepasi perairan antarabangsa.

Disiarkan pada: June 29, 2017 @ 10:48am
d