mutakhir

Kusimpan hiba di hati

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: “Saya terpaksa menahan linangan air mata dan menyimpan perasaan hiba pada sambutan Aidilfitri kerana sedar saya adalah sumber kekuatan bagi suami yang menderita kanser tahap empat manakala bapa pula pesakit strok,” kata Juliana Ujang, 29.

Juliana berkata, Aidilfitri disambut suram oleh keluarganya berikutan dua insan tersayang jatuh sakit apabila bapanya, Ujang Mohamad, 63, diserang strok Oktober lalu manakala suaminya, Azhari Abdul Aziz, 32, disahkan menghidap kanser prostat tahap empat, Mac lalu.

Katanya, lebih memilukan, suaminya terpaksa berjauhan ketika sambutan Aidilfitri tahun ini kerana berada di bawah jagaan ibu mentuanya di Semerah, Batu Pahat.

“Sejak berkahwin saya memang tinggal bersama bapa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Stulang demi menemaninya kerana kakak dan abang sudah berumah tangga serta tinggal berjauhan.

“Selama ini, suami yang bekerja sebagai pembantu pegawai teknik di Telekom Malaysia, Kuala Lumpur, berulang-alik dua kali sebulan bagi menjenguk kami.

“Oktober tahun lalu, bapa yang berstatus duda diserang strok akibat tekanan darah tinggi dan sejak itu pergerakannya terbatas dan dia terpaksa menggunakan tongkat bagi mengimbangi tubuhnya untuk berdiri dan bergerak,” katanya.

Juliana berkata, setiap kali mahu menjalani pemeriksaan di klinik dan hospital, dia terpaksa mendapatkan bantuan jiran memapah bapanya dari rumah terletak di tingkat dua ke tingkat bawah di PPR berkenaan.

Menurutnya, keluarganya terpaksa menanggung tambang teksi bapanya ke klinik mahupun hospital yang mencecah RM200 sebulan.

Katanya, dia dan suaminya bercadang memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi meringankan beban mereka.

“Malangnya ketika mahu mengurus permohonan itu, suami pula jatuh sakit. Suami pernah menjalani pembedahan di Hospital Ampang dan kini menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

“Pada masa sama, doktor tidak menggalakkan suami mendekati kanak-kanak termasuk anak perempuan kami berusia tiga tahun selepas menjalani kemoterapi kerana khuatir ia boleh mendatangkan sebarang risiko,” katanya.

Juliana berkata, dia bersyukur kerana keluarga mentua memberi jagaan kepada suaminya.

Menurutnya, adik iparnya juga sanggup menawarkan pengangkutan bagi membolehkan suaminya berulang-alik dari HSI ke rumah ibu mereka.

“Kami hanya mampu berbual menerusi telefon semalam (kelmarin) kerana suami masih di rumah ibunya.

“Saya memahami keadaan suami yang masih dalam cuti sakit dan pendapatannya adalah kurang daripada gaji asal iaitu RM2,000 sebulan kerana masih dalam cuti sakit serta hanya menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba kekurangan.

“Keadaan itu menyebabkan saya hanya mampu menyediakan juadah sederhana dan saya tidak membeli baju raya untuk anak, tahun ini anak hanya memakai baju biasa kerana baju raya tahun lalu sudah tidak muat,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana keluarga mentua memberi perhatian dan penjagaan kepada suaminya yang juga anak sulung daripada lapan beranak.

“Pemeriksaan terkini dilakukan doktor mengesahkan sel kanser suaminya sudah merebak ke organ lain. Sebagai isteri, saya hanya mampu berdoa untuk suami dan dia terus berikhtiar untuk menjalani rawatan, hanya Allah menentukan segalanya.

“Begitu juga dengan keadaan bapa, saya berharap dia cepat sembuh dan panjang usia,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada Juliana menerusi akaun Maybank 151128109524 atau menghubungi talian 017-7115196.

Disiarkan pada: June 29, 2017 @ 11:14am
d