mutakhir

Penerbangan empat kali seminggu ke Honolulu

Oleh Sufian Thauri Muhammed

AIRASIA X melancarkan penerbangan empat kali seminggu dari klia2 ke Honolulu, Hawaii, hari ini.

Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz berkata, ia perjalanan pertama syarikatnya ke Amerika Syarikat.

"Penerbangan ini melalui Osaka sebagai destinasi transit dengan kami akan mengambil penumpang dari Jepun untuk ke sana.

"Tempoh transit juga pantas dengan mengambil masa dua jam untuk ke Honolulu manakala sejam untuk ke Kuala Lumpur," katanya ketika majlis pelancaran penerbangan terbabit di sebuah hotel di Honolulu, hari ini.

Menurutnya, beliau berharap penerbangan ke Honolulu juga akan membuka ruang lebih besar kepada rakyat Amerika Syarikat melawat Malaysia.

Penerbangan dari klia2 ke Honolulu berlepas setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Sabtu manakala penerbangan dari Honolulu ke klia2 berlepas pada Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad.

AirAsia juga menawarkan tambang serendah RM899 untuk tempat duduk standard dan RM2,999 untuk tempat duduk Flatbed Premium dari sekarang hingga 2 Julai 2017 untuk tempoh perjalanan antara 1 Oktober 2017 hingga 28 Ogos 2018.

Disiarkan pada: June 29, 2017 @ 1:38pm
d