mutakhir

Jumlah kemalangan meningkat

Oleh Aizat Sharif

SEBANYAK 17,147 jumlah kemalangan direkodkan di seluruh negara setakat hari ke-11 Op Selamat 2017 semalam berbanding tempoh yang sama, tahun lalu iaitu 15,527 kemalangan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, peningkatan 1,620 kes atau 10 peratus disebabkan oleh sikap terburu-buru pengguna jalan raya pulang ke destinasi masing-masing ketika musim perayaan ini.

“Jumlah kemalangan meningkat disebabkan begitu banyak jumlah kenderaan setiap hari di jalan raya. Malah di musim perayaan ini, ramai pengguna jalan raya dilihat mementingkan diri sendiri dengan memandu secara laju dan berbahaya.

“Walaupun begitu, kematian dan kecederaan menurun berbanding tempoh sama pada musim perayaan Aidilfitri, tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya yang diadakan bersempena Op Selamat ke-11 di Jalan Alor Setar-Sungai Petani di Gurun, hari ini.

Tambahnya, jumlah kemalangan maut dikurangkan kepada 172 kes daripada 208 kes pada tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak 36 kes atau 17 peratus.

“Jumlah kematian juga berkurangan kepada 185 orang berbanding 233 orang pada tahun lalu dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 48 kematian atau 21 peratus.

“Selain itu, sehingga semalam juga, penunggang dan pembonceng motosikal masih menjadi pengguna jalan raya yang merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu 122 orang namun ia berkurangan sebanyak 22 orang atau 15 peratus berbanding 144 orang pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Sharul Othman berkata, pihaknya menjangkakan pertambahan kenderaan agak ketara akan pulang ke Kuala Lumpur bermula esok dan Sabtu ini apabila cuti sekolah tamat.

Pihaknya juga akan sentiasa menempatkan anggota polis trafik di lokasi di mana kesesakan lalulintas dan kemalangan sering berlaku bagi memastikan perjalanan kenderaan lancar.

Dalam tinjauan berkenaan, beliau turut melawat cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda bagi mendengar taklimat dan laporan pegawai dan anggota bertugas bagi Op Selamat di kawasan Zon Utara yang membabitkan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Disiarkan pada: June 29, 2017 @ 4:43pm
d