mutakhir

Rintihan dijengah duka

Oleh Shahrinnahar Latib

Kuantan: Ibu beranak empat tidak menyangka kesukaran bernafas sejak November tahun lalu petanda dirinya menghidap penyakit buah pinggang serius.

Lebih memeritkan Nurul Wahida Abdullah, 30, kini terpaksa menjalani rawatan hemodialisis dua kali seminggu selain bergantung kepada pelbagai jenis ubatan mencecah RM200 untuk setiap rawatan.

Katanya, dia pada mulanya mengalami kesukaran bernafas yang sangat teruk sebelum suaminya membawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini bagi menerima rawatan.

Dia bagaimanapun disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap serius selepas beberapa ujian perubatan dilakukan dan kini terpaksa bergantung kepada rawatan hemodialisis dan ubat-ubatan bagi membolehkan dia terus bertahan melawan penyakit itu.

“Apabila disahkan menghidap penyakit ini hanya Allah yang tahu perasaan saya, rasa masa depan gelap dan saya terpaksa berhenti kerja akibat penyakit ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Inderapura di sini.

Menurutnya, sejak berhenti kerja dia tidak dapat membantu perbelanjaan keluarga selain terpaksa berjimat-cermat untuk menanggung kos rawatannya memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai kontraktor yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Sejujurnya saya tidak mampu menampung kos rawatan dialisis yang mencecah RM200 sekali rawatan. Dua kali seminggu saya perlu melakukan rawatan susulan di HTAA bagi membolehkan penyakit buah pinggang dialami itu dapat dipantau.

“Jika buah pinggang tidak dicuci, saya akan mudah pengsan dan tidak bermaya. Saya kini hidup dalam kesempitan tambahan pula anak masih bersekolah,” katanya.

Nurul Wahida memaklumkan dia memerlukan sumbangan bagi membolehkan pembedahan segera dijalankan selain berdoa ada buah pinggang yang sesuai didermakan kepadanya bagi membolehkan pembedahan dilakukan.

Nurul Wahida berkata, dia kini mengumpulkan dana bagi membolehkannya menampung kos pembedahan yang dianggarkan berjumlah RM50,000.

Katanya, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi suami Nurul Wahida, Mohd Khairul Azhar Nasahar, 34, di talian 0173081610.

Disiarkan pada: June 30, 2017 @ 10:15am
d