mutakhir

Bantu kembali ke pangkal jalan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Shah Alam: Dimasukkan ke lokap kerana salah faham dan terpaksa mengejar penghuni yang melarikan diri melalui kebun nanas antara pengalaman yang tidak dilupakan Ustazah Hazlina Abd Razak sepanjang lebih 10 tahun menguruskan Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor (DARWA).

Namun, semua itu tidak melemahkan semangat Hazlina untuk terus berbakti serta membimbing wanita dan remaja daripada terus hanyut dibuai keseronokan duniawi.

Beliau yang juga pengasas DARWA berkata, dalam tempoh itu, seramai 480 remaja dan wanita mendapat perlindungan serta pemulihan di rumah berkenaan.

“Kami menerima pelbagai jenis kes berdasarkan empat kategori iaitu wanita kecelaruan akidah (mualaf dan murtad), wanita teraniaya (penderaan fizikal, keganasan rumah tangga), hamil luar nikah (zina, rogol, sumbang mahram) serta remaja terbabit dengan gejala sosial.

“Untuk kumpulan umur pula, kami menerima kes semuda usia 12 tahun sehingga 40 tahun dan jumlah penghuni terkini adalah seramai 25 dewasa serta sembilan bayi,” katanya.

Menurut Hazlina, berdasarkan pengalamannya menguruskan rumah perlindungan itu, banyak faktor yang menyebabkan masalah itu berlaku namun punca utamanya adalah tidak mengikuti syariat agama serta tiada kesedaran mengenai kewujudan Tuhan.

Selain itu, banyak kes juga membabitkan masalah perpecahan atau kesibukan ibu bapa, faktor masyarakat setempat, ekonomi serta pengaruh kecanggihan teknologi dan media sosial.

Kata Hazlina, masalah sosial kini bukan lagi kes terpencil kerana bilangan kes meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini seiring dengan perubahan gaya hidup masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan disebabkan satu punca saja, sebaliknya berpunca daripada rantaian faktor lain.

“Masalah sosial seperti kehamilan luar nikah contohnya turut dialami golongan remaja cemerlang dan kami pernah menerima kes membabitkan seorang remaja yang meraih keputusan cemerlang 8A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, tetapi kemudian hamil akibat terjebak dengan cinta rakan sekolah.

“Selain itu, kami pernah dihubungi remaja yang ketakutan kerana ayah kandungnya sendiri jatuh cinta padanya dan kemungkinan boleh berlaku sumbang mahram,” katanya.

Hazlina berkata, tempoh program pemulihan di pusat perlindungan itu berdasarkan merit iaitu antara setahun hingga dua tahun.

Kata beliau, selain ilmu agama dan kerohanian, pusat perlindungan itu turut menitikberatkan aspek kemahiran hidup seperti kelas jahitan, masakan, kelas muzik, komunikasi dan banyak lagi.

Katanya, lumrah manusia tidak lepas daripada melakukan kesilapan dan DARWA berfungsi bukan saja membimbing, malah menyediakan peluang kedua untuk mereka.

“Ini kerana bagi kami bukan bagaimana seseorang itu bermula, tetapi bagaimana pengakhiran hidupnya kerana pintu taubat sentiasa terbuka untuk sesiapa saja.

“Apapun, semua itu tidak akan berjaya tanpa sokongan semua pihak terutama keluarga penghuni sendiri kerana mereka akan kembali ke pangkuan masyarakat selepas menghabiskan program pemulihan di sini,” katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2017 @ 10:26am
d