mutakhir

Gerabak bermuatan simen tergelincir

Oleh Mohd Sabran Md Sani

GERABAK kereta api kargo bermuatan simen yang dalam perjalanan dari Pelabuhan Johor menghala ke Skudai tergelincir dari landasan di Kilometer 29.25 di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, tengah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada jam 12.30 tengah hari.

"APM menerima maklumat membabitkan sebuah kereta api terkeluar daripada landasan pada jam 11.55 pagi.

"Ketika kejadian dua kru KTMB memandu kenderaan yang membawa muatan 31 gerabak," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, kerja pengalihan dilakukan sebelum gerabak itu dapat beroperasi semula seperti biasa.

Jurucakap Unit Komunikasi Korporat KTMB ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menjelaskan ia berpunca daripada roda kereta api tergelincir dari landasan.

"Keadaan itu menyebabkan gerabak yang membawa simen terkeluar dari landasan, namun masih di laluannya.

"Kerja pengalihan menggunakan kren mengambil masa dua jam dan selesai pada jam 2.10 petang," katanya.

Berikutan itu, KTMB memohon maaf atas kesulitan berlaku dan sudah mendapatkan bantuan polis trafik bagi mengawal lalu lintas serta mencari laluan alternatif lain.

Disiarkan pada: June 30, 2017 @ 3:52pm
d