mutakhir

Hanya 23% PATI didaftarkan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

PROGRAM kad sementara Enforcement Card (E-Kad) dianggap tidak berjaya apabila hanya 23 peratus atau 161,056 daripada anggaran keseluruhan 600,000 pendatang tanpa izin (PATI) didaftarkan setakat 10 malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, program berkenaan disifatkan gagal kerana masih ramai majikan tidak mendaftarkan pekerja asing mereka biarpun sudah diberi tempoh yang lama sejak 15 Februari lalu.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat ketetapan untuk melakukan operasi memburu PATI di seluruh negara mulai 12 tengah malam tadi.

"Kami ingin tegaskan, tiada lanjutan dan sambungan lagi. Selepas ini, kami akan pastikan HHO (Hari-Hari Operasi)," katanya pada sidang media selepas meninjau proses E-Kad di Putrajaya, malam tadi.

Katanya, setakat 10 malam tadi, 28,375 majikan tampil mendaftarkan PATI masing-masing selain 145,571 E-Kad sudah dikeluarkan.

Mustafar berkata, pihaknya juga ingin menegaskan bahawa makluman proses E-Kad sudah disebarkan secara meluas menerusi pelbagai saluran media massa dan sosial malah, kerjasama dengan persatuan majikan turut dilakukan.

"Selepas ini jangan salahkan kami atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk sebarang tindakan yang akan dikenakan.

"Salahkan diri anda sendiri yang tidak mengambil peluang yang sudah diberikan lama," katanya.

Bermula awal pagi ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menjalankan gerakan besar-besaran memburu (PATI) di seluruh negara selain mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang melakukan kesalahan menggaji mereka.

Pendaftaran E-Kad dibuka sejak 15 Februari lalu dan kad itu berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi tujuan menggantikan dokumen perjalanan sah daripada kedutaan untuk membolehkan warga asing terbabit terus bekerja di negara ini.

Selepas mendaftar, majikan dan warga asing itu perlu mendapatkan pasport daripada kedutaan masing-masing untuk tujuan pemutihan.

Gambar Ahmad Irham Mohd Noor

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 12:40am
d