mutakhir

Boleh kena tindakan mahkamah

Oleh myMetro

Pelabuhan Klang: Tindakan segelintir majikan yang ‘membuang’ pekerja asing tanpa izin (PATI) mereka kerana gagal didaftarkan melalui program Enforcement Card (E-Kad) boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan mahkamah.

Pengarah Imigresen Selangor Omran Omar berkata, majikan mengambil jalan mudah seumpama itu berikutan enggan membayar wang bagi menghantar pekerja asing mereka pulang ke negara asal.

Menurutnya, tarikh pendaftaran E-Kad yang berakhir semalam turut mendorong lebih ramai PATI dibuang majikan kerana gagal didaftarkan atas pelbagai faktor.

“Majikan mesti bertanggungjawab terhadap pekerja mereka yang gagal mendapatkan E-Kad dengan memohon untuk program 3+1 iaitu program penyerahan diri secara sukarela.

“Jika kita (Jabatan Imigresen) menahan PATI itu dalam operasi akan datang, kita boleh kesan siapa majikan dan mendakwa mereka mengikut ATIPSOM iaitu kesalahan memperdagangkan manusia,” katanya, di sini, semalam.

Kata Omran, faktor kegagalan PATI mendaftar E-Kad antaranya kerana sudah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen selepas melakukan pelbagai kesalahan.

“Justeru, lebih baik mereka membantu memohon program 3+1 kerana kita akan mengesan majikan yang bertindak membuang pekerja mereka nanti,” katanya.

Tinjauan wartawan semalam, mendapati pejabat Jabatan Imigresen Cawangan Pelabuhan Klang di sini, diserbu majikan dan PATI yang datang mendaftar E-Kad pada saat akhir sejak tiga hari lalu.

Dalam pada itu, Omran berkata, pihaknya kesal dengan kedegilan sebahagian besar majikan di negeri ini yang gagal membuat pendaftaran E-Kad walaupun perkara itu sudah dihebahkan sejak 15 Februari lalu.

“Saya sudah menjangkakan keadaan ini akan berlaku berikutan statistik jumlah majikan yang datang mendaftar pekerja mereka amat kecil,” katanya.

Menurutnya, sehingga kelmarin, seramai 4,852 hadir mendaftarkan E-Kad membabitkan 41,673 pekerja asing tanpa permit bagi lima sektor iaitu perkhidmatan, pembinaan, perkilangan, pertanian dan perladangan.

“Bagaimanapun, hanya 40,395 pekerja yang layak mendapatkan E-Kad manakala baki 1,278 PATI ditolak atas pelbagai sebab seperti belum membuat bayaran, tidak layak, masalah teknikal dan sebagainya,” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 7:28am
d