mutakhir

Jari tak boleh bengkok

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Setiap kali Aidilfitri, Kelantan tidak pernah sunyi daripada insiden penduduk cedera akibat bermain mercun terutama jenis mercun bola.

Tahun ini, seramai tujuh orang dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, kerana kecederaan serius, berbanding hanya empat mangsa pada 2016.

Seorang daripada mangsa itu adalah Abdul Azim Muhamad, 29, yang menjadi mangsa disebabkan perbuatan kanak-kanak di Kampung Jejuluk, Tumpat bermain mercun bola pada 7 Jun lalu.

Kejadian pada Ramadan ke-12 itu tidak mungkin dilupakan, apatah lagi dia kini menderita putus jari telunjuk kanan dan cedera di ibu jari serta tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan buat masa ini.

Abdul Azim berkata, walaupun sudah 25 hari kejadian berlaku, dia masih belum dapat menyesuaikan diri dengan kecacatan jarinya.

“Saya ingatkan cedera ringan saja, tetapi lain yang berlaku. Doktor maklumkan jari itu tidak dapat diselamatkan dan perlu dipotong untuk mengelak jangkitan kuman.

“Pada 6 Julai ini, saya perlu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), sekali lagi untuk berjumpa pakar berikutan jari tengah tidak dapat dibengkok seperti biasa,” katanya semalam.

Abdul Azim yang bekerja sebagai tukang rumah mengakui tidak dapat melakukan kerja berat untuk tempoh beberapa bulan dan bimbang sekiranya pendapatannya terjejas.

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 7:46am
d