mutakhir

Berpusing elak langgar babi

Oleh Mohd Sabran Md Sani dan Togi Marzuki

Mersing: Perjalanan lima beranak berhari raya ke Kampung Tenglu 6, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut manakala empat yang lain cedera selepas kenderaan Perodua Alza dinaiki terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer (KM) 32, Jalan Kota Tinggi-Mersing, di sini.

Kejadian jam 4.30 petang kelmarin, menyebabkan dua daripada tiga anak lelaki pasangan suami isteri, Rohana Zainal, 39, dan suaminya, Mohd Faizal Sapari, 40, yang menaiki kenderaan itu tercampak empat meter akibat rempuhan kuat.

Kemalangan itu mengakibatkan anak bongsu mereka, Muhammad Aqrob Dhuhaa Mohd Faizal, empat tahun parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Mersing di sini, pada jam 7.30 malam kelmarin.

Turut cedera, empat daripada enam individu menaiki kenderaan Toyota Avanza yang dalam perjalanan dari Pontian ke Kampung Tenglu 6, Mersing.

Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kemalangan itu meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki selepas Perodua Alza dipandu bapanya terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain ketika cuba mengelak babi hutan.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu Perodua Alza mendakwa melihat haiwan liar itu menyebabkan dia cuba memberhentikan kenderaan.

“Keadaan itu mengakibatkan Perodua Alza berkenaan berpusing beberapa kali sebelum bertembung dengan Toyota Avanza,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, kereta Proton Saga FLX yang mengekori Toyota Avanza turut melanggar sisi kenderaan berkenaan yang melintang jalan.

Menurutnya, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Mersing dan Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan kecemasan akibat kecederaan dialami.

“Lima sekeluarga yang menaiki kereta Perodua Alza dan cedera dikejarkan ke Hospital Mersing, sebelum seorang daripada mereka disahkan maut ketika mendapatkan rawatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, kemalangan tragis berkenaan menjadi tular di laman sosial Facebook (FB) sejak petang kelmarin, termasuk gambar menunjukkan keadaan anak kepada pasangan suami isteri yang menaiki Perodua Alza cedera di tepi jalan.

Turut kelihatan beberapa individu yang datang membantu menenangkan isteri kepada pemandu Perodua Alza yang turut cedera akibat kemalangan itu.

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 8:07am
d