mutakhir

Nafi buat tuntuan palsu [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Petra Jaya: Seorang pegawai kementerian kerajaan negeri bersama dua kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kuching, di sini, semalam, atas kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.

Tertuduh, Nancy Mongin, 44, yang bertugas sebagai Setiausaha di Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Sarawak didakwa melakukan kesalahan itu antara 3 September 2014 hingga 7 Mei 2015.

Nancy menghadapi enam pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 28 (1)(c) akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Mengikut kertas pertuduhan, Nancy didakwa bersubahat membuat enam tuntutan palsu bagi program dan bekalan barangan kementeriannya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Di mahkamah sama, Reggy Petrus Naes, 46, dan Akiu Bandat, 58, masing-masing menghadapi tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu terhadap program serta bekalan barangan.

Kedua-dua tertuduh yang juga kontraktor dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Sarawak pada tarikh yang sama dan dituduh mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai tuntutan palsu.

Semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Jason Juga yang kemudiannya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 setiap orang dengan seorang penjamin.

Nancy dan Reggy diwakili peguam bela Teressa Udam manakala Akiu diwakili Jonathan Jalin sementara pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Law Chin Hoe.

Hakim menetapkan 7 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk semua tertuduh dan pihak pendakwaan mengemukakan semua dokumen berkaitan.

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 8:23am
d