mutakhir

Dah maklum sejak Februari

Oleh Iskandar Shah Mohamed

JABATAN Imigresen memulakan operasi menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas berakhirnya tempoh permohonan kad sementara Enforcement Card (E-Kad) dengan penahanan 51 warga asing dalam serbuan di dua asrama penginapan di Batu 7, Kapar, Klang, hari ini.

Selain sepasukan 86 pegawai dan anggota dari Jabatan Imigresen Putrajaya dan Selangor, operasi bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam itu turut disertai Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali.

Menurut Mustafar, operasi itu dijalankan pihaknya di seluruh negara selepas tempoh pendaftaran dan permohonan E-Kad sejak 15 Februari lalu berakhir tengah malam tadi, sekali gus membuktikan pihaknya serius memburu PATI yang tidak mematuhi undang-undang negara ini.

"Dalam serbuan di dua lokasi di Klang ini, kita menjalankan pemeriksaan ke atas 239 warga asing termasuk wanita yang bekerja di beberapa kilang berdekatan namun menginap di asrama berasingan terbabit.

"Hasil pemeriksaan bagaimanapun mendapati hanya 51 daripada mereka berusia lingkungan 20 hingga 50-an melakukan kesalahan tiada dokumen perjalanan sah dan menetap lebih masa. Mereka membabitkan 38 warga Bangladesh, lima warga Nepal dan masing-masing empat Myanmar serta Indonesia.

"Manakala 188 warga asing lain dibebaskan kerana mempunyai dokumen lengkap dan E-Kad. Perkara itu menunjukkan bahawa majikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan," katanya pada sidang media selepas berakhir operasi selama lebih dua jam itu, pagi ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Jaafar Mohamed

dan Pengarah Imigresen Selangor, Omran Omar.

Sehingga jam 10 malam tadi, 28,375 majikan tampil mendaftarkan PATI masing-masing selain 145,571 E-Kad sudah dikeluarkan sekali gus menunjukkan program itu dianggap tidak berjaya kerana gagal mencapai sasaran 600,00 orang yang ditetapkan.

Kata Mustafar, pihaknya tidak menerima alasan segelintir PATI mendakwa tidak mengetahui mengenai tarikh tamat tempoh permohonan E-Kad antaranya kerana tidak dimaklumkan oleh majikan mereka.

"Kita sudah menjalankan pelbagai hebahan sejak Februari lalu termasuk meminta kerjasama daripada pihak Kedutaan negara masing-masing mengenai program berkenaan.

"Ada juga majikan mengaku kecuaian mereka yang menganggap tempoh berkenaan akan dilanjutkan lagi sedangkan ia sememangnya tetap berakhir pada 30 Jun," katanya yang turut akan memburu majikan yang menggaji PATI.

E-Kad berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan sah daripada kedutaan untuk membolehkan warga asing itu terus bekerja di negara ini.

Selepas mendaftar, majikan dan warga asing tu perlu mendapatkan pasport daripada kedutaan masing-masing untuk tujuan pemutihan.

Kad itu bagaimanapun hanya sah sehingga 15 Februari 2018 dan jika majikan masih tidak membuat permohonan dokumen permit kerja serta pasport bagi pekerjanya, tindakan pengusiran akan dijalankan.

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 9:06am
d