mutakhir

Tiga kanak-kanak positif rabies

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan sahkan tiga kanak-kanak di Sarawak positif virus rabies (penyakit anjing gila).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan makmal semalam menunjukkan ketiga-tiga kes berkenaan adalah positif virus rabies.

Beliau berkata, pada Khamis lalu, Bahagian Kawalan Penyakit kementerian menerima laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak berkaitan tiga kes viral encephalitis yang dimasukkan ke wad di Hospital Umum Sarawak (SGH).

"Kes pertama adalah kanak-kanak lelaki, berumur empat tahun dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian. Kanak-kanak itu mula mengalami demam sejak 5 Jun lalu dan mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Balai Ringin, Serian pada hari yang sama.

"Kes kedua pula membabitkan kanak-kanak perempuan berumur enam tahun dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian. Kes ini adalah kakak kandung kepada kes pertama dan mangsa mulai demam pada 12 Jun lalu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kes ketiga adalah kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun dari Kampung Lebur, Gedong dan mula mengalami demam pada 23 Jun lalu.

Dr Noor Hisham berkata, ketiga-tiga mangsa tenat dan kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, SGH dan siasatan mendapati, ketiga-tiga mereka juga pernah mempunyai sejarah gigitan anjing sebelum ini.

Dalam pada itu, katanya, pihak JKN Sarawak sudah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan ke atas kejadian ini melalui aktiviti pengurusan kes jangkitan rabies; mengeluarkan amaran jangkitan kepada semua pengamal perubatan; membuka bilik gerakan untuk memantau kejadian dan menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan wabak.

"Oleh yang demikian, kami ingin menasihati orang awam yang tinggal di daerah Serian agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit rabies.

"Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika mengalami gigitan anjing peliharaan yang agresif atau anjing liar selain memastikan anjing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak bersama anjing liar," katanya.

Katanya, kementerian turut mengingatkan daerah-daerah lain yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia supaya meningkatkan pemantauan kes gigitan anjing di daerah masing-masing.

Menurutnya, kementerian juga akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veteriner dan agensi lain yang berkaitan bagi memastikan jangkitan virus rabies dalam kalangan manusia dapat dikawal dan tiada penularan lanjut berlaku.

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 11:15am
d