mutakhir

Jatuh tingkat dua kejar tahanan

Oleh Hadzlihady Hassan

SEORANG anggota polis cedera di kepala selepas terjatuh tingkat dua Hospital Kepala Batas di Kepala Batas, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, Lans Koperal Syed Mohamad Farli Syed Alwi, 30-an cuba mengejar seorang tahanan kes dadah yang melarikan diri melalui tingkap wad.

Menurut sumber, anggota polis terbabit bagaimanapun terjatuh dan kepalanya terhentak bucu sengkuap (awning), namun keadaan mangsa stabil.

"Kejadian berlaku ketika anggota terbabit bersama seorang lagi rakan setugas menunggu tahanan berkenaan yang mendapatkan rawatan penyakit tibi di wad hospital itu.

"Ketika jururawat menukar tiub air kencing, suspek mengambil kesempatan melepaskan tangannya yang bergari dengan menggunakan air sebagai pelincir," katanya.

Sumber berkata, suspek yang berusia 59 tahun bagaimanapun berjaya ditahan dengan bantuan pengawal keselamatan di hospital terbabit.

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 11:43am
d