mutakhir

6,000 anggota polis kawal kesesakan

Oleh Ramli Ibrahim

POLIS akan memastikan pergerakan trafik di seluruh negara yang mencapai waktu kemuncak esok, berjalan dengan lancar.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, dalam tempoh kemuncak itu dijangka berjuta kenderaan melalui jalan utama ke ibu negara.

Katanya, bagi kelancaran trafik, seramai 6,000 anggota polis akan bertugas membuat kawalan di semua lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kesesakan.

"Pertambahan kenderaan sudah pasti memberi kesan kepada kelancaran aliran trafik dan yang penting pengguna perlu ikut peraturan serta sabar ketika memandu.

"Bermula hari ini dan esok di jangka semua jalan raya di negara kita akan dipenuhi kenderaan sama ada di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran.

"Kita semua maklum persekolahan juga akan bermula dan ada negeri yang bermula esok, apapun kita warga trafik akan sentiasa bersiap siaga mengawal pergerakan di semua laluan," katanya ketika ditemui selepas meninjau aliran trafik di Sekatan Jalan Raya di Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Kem Semor, Gua Musang, hari ini.

Sebelum itu, beliau menyampaikan taklimat berhubung Operasi Selamat musim perayaan Aidilfitri di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Abdullah Daud.

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 2:53pm
d