mutakhir

23 warga asing dicekup di Melaka Tengah

Oleh Nur Saliawati Salberi

SERAMAI 23 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi di dua tapak pembinaan di Melaka Tengah, Melaka, hari ini.

Serbuan selama empat jam bermula 10 pagi itu dilakukan Jabatan Imigresen Melaka (JIM) bagi mengesan PATI selepas tempoh permohonan kad sementara (E-Kad ) tamat semalam.

Timbalan Pengarah JIM Abu Bakar Sidik Hasan berkata, dalam operasi yang berakhir pada jam 2 petang itu hanya 23 PATI termasuk seorang wanita ditahan selepas tiga lokasi utama serbuan tidak beroperasi dan terpaksa ke lokasi baharu.

Menurutnya, dua lokasiserbuan baharu adalah di tapak pembinaan Kawasan Perindustrian Batu Berendam dan Bukit Rambai membabitkan pemeriksaan seramai 204 warga asing.

"Kita percaya mereka ini menghentikan sementara operasi selepas pengumuman operasi besar-besaran akan dibuat kerana semasa risikan dibuat kita mendapati ianya beroperasi.

"Daripada jumlah yang ditahan itu, 11 adalah warga Bangladesh, diikuti lapan warga Myanmar dan masing-masing dua warga Pakistan dan Indonesia," katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 45 tahun.

"Mereka ini akan dihantar ke Depoh Tahanan Machap Umboo untuk tindakan selajut selain disiasat mengikut Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 4:05pm
d