mutakhir

[UPDATE Kebakaran Tawau] Dua remaja cedera

Oleh Junaidi Ladjana & Hazsyah Abdul Rahman

DUA remaja dilaporkan cedera dalam kebakaran di Kampung Hidayat, Batu Empat, Tawau, petang hari ini.

Dalam kejadian jam 3.11 petang itu, lelaki 19 dan perempuan, 15, kini dirawat di zon kuning wad kecemasan Hospital Tawau.

Pemangku Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Faisal Ahmad berkata, mangsa lelaki cedera selepas jatuh dari bumbung ketika menyelamatkan diri.

"Remaja perempuan pula mengalami sesak nafas disyaki akibat terhidu asap.

"Keduanya masih dirawat selepas dikejarkan ke Hospital Tawau." katanya ketika dihubungi.

Faisal berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya sukar masuk ke lokasi kejadian berikutan jalan sempit.

"Orang ramai turut berpusu-pusu keluar menyukarkan jentera bomba masuk. Bekalan air dari pili bomba juga tiba-tiba terputus.

"Usaha memadam api diteruskan dengan mendapatkan air dari sebuah kilang papan berdekatan." katanya.

Katanya, dianggarkan sejumlah 750 buah rumah di kampung berkenaan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 250 ranap akibat kebakaran itu." katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 8:42pm
d