mutakhir

Gergasi Merah benam The Titans

Oleh Aziman Rosdi

Selayang: Selangor memanfaatkan aksi di laman sendiri dengan membenam T-Team 4-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebentar tadi.

Dalam aksi pertama selepas liga berhenti lebih sebulan itu, Selangor tampil dengan penyerang import baru dari Sepanyol Rufino Segovia manakala T-Team pula mempertaruhkan Joseph Yannick Ndjeng dari Cameroon.

Selangor kendalian jurulatih P Maniam seharusnya di depan namun Francis Forkey Doe mensia-siakan peluang di depan pintu gol dengan menyepak tinggi bola hantaran Andik Vermansyah di minit ke-14.

Segovia terlepas peluang untuk menjaringkan gol apabila bola percubaannya berjaya dikeluarkan oleh pertahanan T-Team di atas garisan gol pada minit ke-35.

Bagaimanapun kedudukan berubah pada babak kedua apabila serangan balas pantas Selangor berjaya membuahkan hasil dengan pemain sayap pertahanan Muhammad Syahmi Safari merembat masuk bola umpanan Segovia pada minit ke-52.

Tidak sempat pasukan pelawat mengatur gerakan, dua minit kemudian skuad Red Giants menambah gol kedua hasil tandukan Forkey Doe.

Bagaimanapun T-Team merapatkan kedudukan menerusi jaringan Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-73 selepas situasi kelam kabut di gawang Selangor.

Pasukan tuan rumah kembali lega apabila Segovia meledak gol ketiga pada minit ke-82 selepas menanduk masuk bola hantaran Andik sebelum Muhammad Syahmi melengkapkan malam gemilang dengan gol keempat tiga minit kemudian.

T-Team mendapat gol kedua menerusi sepakan penalti Joseph Yannick Ndjeng di minit ke-89 tapi sudah terlambat untuk mencipta kebangkitan dan terpaksa akur dengan kekalahan 2-4.

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 11:03pm
d