mutakhir

Bas paling 'popular'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Sebanyak 6,033 kenderaan diperiksa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam Ops Khas Aidilfitri bermula 12 Jun hingga Khamis lalu.

Pengarah Penguat Kuasa SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 351 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Notis kesalahan membabitkan pemandu bas sebanyak 171 notis, lori (110), teksi (42), ulat kereta sapu (20) dan tiada permit kenderaan sebanyak lapan notis.

“Semua notis ini kita diserahkan kepada timbalan pendakwa raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad semalam.

Menurut beliau, Op Khas Aidilfitri yang bermula 12 Jun dan berakhir 2 Julai ini setakat Khamis lalu menyaksikan 4,279 bas diperiksa diikuti teksi (1,087), lori (633), ulat kereta sapu (24) dan tiada permit 10 diperiksa.

“Bagi pemandu bas, kebanyakan kesalahan dikesan adalah mengambil dan menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan selain gagal mempamerkan permit perjalanan.

“Manakala pemandu lori pula kesalahan adalah membawa muatan lebih dan berbahaya kepada keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di hab pengangkutan awam Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan KL Sentral mendapati ia mulai sesak dengan ribuan warga kota yang kembali ke ibu negara selepas menyambut Aidilfitri minggu lalu.

Di Terminal Bersepadu Selatan, warga kota memenuhi ruang ketibaan daripada destinasi kampung halaman masing-masing.

Bagaimanapun tinjauan mendapati keadaan masih terkawal dan tidak terlalu sesak terutama di kaunter tiket kerana kebanyakan penumpang bas menggunakan sistem pembelian tiket dalam talian.

Di KL Sentral, penumpang kereta api perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari Sungkai Perak, Noratikah Haris Fadilah, 24, ketika ditemui berkata, biarpun bilangan penumpang yang ramai, keadaan masih terkawal dan tidak terlalu sesak seperti tahun sebelumnya.

“Saya tiba di KL Sentral jam 1 petang dan akan menuju ke TBS menaiki bas jam 2.30 petang untuk pulang ke kolej jururawat di Muar, Johor.

“Setakat ini saya lihat walaupun semakin ramai warga kota pulang ke ibu negara selepas menyambut hari raya, keadaan masih lagi tidak begitu sesak,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2017 @ 7:53am
d