mutakhir

Kuala Kerteh hilang seri

Oleh Shamsudin Husin

Chukai: Pantai Kuala Kerteh, di sini, yang satu ketika dulu landai memanjang lebih satu kilometer kini sudah hilang serinya selepas ia bertebing disebabkan kerap dilanda ombak besar akibat fenomena air pasang besar.

Perubahan itu berlaku sejak lima tahun lalu dan kini kawasan pantai berkenaan dipenuhi akar pokok ru yang tumbang di tepi pantai.

Menurut penduduk, walaupun beberapa usaha dilakukan sebelum ini seperti bergotong-royong membersih pantai serta menanam semula pokok termasuk dianjurkan oleh Petronas Wilayah Timur, ia didapati tidak dapat mengembalikan keindahan pantai seperti asal.

Berikutan itu, penduduk mencadangkan kerajaan negeri menambak pantai itu bagi memulihkan keadaannya walaupun tidak seperti keadaan asal tetapi sekurang-kurangnya ia tidak bertebing tinggi seperti sekarang.

Penduduk berhampiran, Ripin Ngah, 52, berkata, sebelum ini pantai berkenaan memang cantik dan memanjang dengan pasirnya memutih hingga menjadi tumpuan ramai penduduk setempat untuk mandi-manda serta berkelah.

“Kini keindahan itu sudah tiada apabila dihakis ombak besar akibat fenomena air pasang besar sebelum ini dan ia perlu ditambak supaya dapat menahan ombak besar daripada menghakis pantai.

“Sebelum ini, ramai pengunjung datang ke sini pada waktu petang. Bukan saja penduduk setempat malah pelancong asing juga datang untuk berjoging dan bersiar-siar di tepi pantai kerana lokasinya tidak sampai satu kilometer dari Jalan Kuala Terengganu-Kuantan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Azhar Mohd, 50, berkata, Kuala Kerteh bukan saja menjadi pusat pendaratan ikan oleh nelayan tempatan, malah pantainya terkenal dengan keadaan yang landai.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 10:12am
d