mutakhir

Bantah cadangan longgar syarat lulus BM

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PERTUBUHAN Warisan Melayu Johor membantah cadangan Kementerian Kesihatan untuk melonggarkan syarat kelulusan Bahasa Malaysia bagi Pegawai Perubatan yang dilantik secara kontrak.

Presidennya, Datuk Abdul Rahman Yunus berkata, tindakan itu dilihat sebagai mencabul kedaulatan bahasa kebangsaan seperti terkandung dalam Artikel 152 Perlembagaan Malaysia dan Akta Pendidikan 1961.

"Syarat kelulusan Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajar dikuatkuasakan kepada semua Pegawai Perubatan lantikan KKM tanpa mengira status kontrak atau tetap.

"Bahasa Melayu bahasa kebangsaan kita sewajarnya dihormati, didaulatkan dan jadi bahasa pengantaraan dalam disiplin ilmu," katanya pada sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, sesuai dalam Artikal 152 Perlembagaan Malaysia, Bahasa Melayu adalah wadah memupuk integrasi nasional dalam konteks masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini.

"Tidak wajar diberi kelonggaran kepada semua siswazah perubatan warga negara kerana bertentangan dengan Fasal 152 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

"Jika dibenarkan akan lebih banyak pihak atau sektor perkhidmatan lain menuntut kelonggaran yang serupa," katanya.

Beliau berkata, lima perkara termasuk kerakyatan, raja-raja, agama Islam, bahasa Malaysia dan hak keistimewaan orang Melayu tidak boleh diusik kerana sudah termaktub dalam kontrak sosial.

"Lima perkara ini menjadi kontrak sosial dipersetujui ketika mencapai kemerdekaan," katanya.

Malah beliau juga menyarankan supaya kursus berkaitan perlembagaan turut diadakan kepada semua pihak bagi memahami kandungan termaktub di dalamnya.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 10:44am
d