mutakhir

Sampai bila kami mahu derita?

Oleh Suraya Roslan

Cheras: Penduduk Pangsapuri Taman Miharja Fasa Dua, di sini, yang terpaksa berdepan pelbagai masalah seperti lif rosak lebih tiga tahun, sampah-sarap tidak diurus dengan betul dan kebanjiran warga asing hingga mengancam keselamatan mereka.

Lebih mengecewakan, segelintir penduduk mendakwa Badan Pengurusan Bersama (JMB) seolah-olah ‘memekakkan telinga’ dan tidak mengendahkan aduan dan masalah yang dihadapi.

Penduduk, Ng Thian Sang, 65, berkata, setiap bulan penduduk di lapan blok pangsapuri berkenaan dikenakan bil penyelenggaraan RM100 sebulan termasuk bayaran kumpulan wang penjelas (sinking fund).

“Saya mempunyai isteri, Chan Soon Moi, 80, yang mengalami strok dan perlu ke hospital tiga kali sebulan. Bayangkan saya perlu meminta bantuan empat rakan untuk menurun dan menaikkan isteri dengan kerusi roda menggunakan tangga.

“Keadaan ini sudah berlarutan lebih tiga tahun dan saya sudah tidak tahan lagi menghadapi situasi ini, bantulah kami,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Penduduk lain yang mahu dikenali Leong, 37, berkata, berikutan masalah lif yang selalu rosak menyebabkan ada segelintir penduduk yang membuang sampah berdekatan lif menyebabkan bau busuk dan keadaan tidak menyenangkan.

“Kebanyakan mereka adalah warga asing yang malas mahu turun ke bawah untuk membuang sampah, keadaan ini sangat mengganggu kami.

“Saya tidak faham mana wang penyelenggaraan yang dibayar itu hingga JMB tidak mampu membaiki lif dan menyusahkan penduduk terutama warga emas dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Aduan itu turut disokong seorang lagi penduduk dikenali sebagai Muru, 44, yang mendakwa kebanyakan lif di lapan blok pangsapuri itu kerap kali rosak lebih tiga tahun lalu dan sehingga kini tidak dibaik pulih menyebabkan penduduk terpaksa bergantung sepenuhnya kepada tangga.

“Bayangkan, jika dibaiki pun tidak sampai dua hari akan rosak semula dan saya kira JMB melantik kontraktor yang tidak bertauliah dan berkemahiran dalam menyelenggara lif di sini.

“Lebih sedih, masalah ini menyebabkan ada penghuni termasuk ibu mengandung, warga tua dan OKU terpaksa menaiki dan menuruni kediaman itu menggunakan tangga setiap hari,” katanya.

Menurutnya, kerosakan lif menyukarkan penduduk menjalankan aktiviti harian termasuk membuang sampah menyebabkan longgokan sampah menimbun di tepi lif di setiap tingkat.

“Aduan sudah banyak kali dibuat kepada pihak pengurusan, namun masalah ini masih berlarutan sehingga tiga tahun.

“Kegiatan seharian penduduk sememangnya terjejas dan terbatas sehingga ada penduduk yang tidak bertanggungjawab membaling bungkusan sampah dari tingkat atas ke bawah berikutan malas turun menggunakan tangga,” katanya.

Katanya, banyak aduan berkaitan lif ini sudah penduduk ajukan kepada pihak pengurusan namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Seorang lagi penduduk, Rosli Abu Bakar, 50-an, berkata, apabila berlaku kematian sangat menyedihkan kerana jenazah perlu diusung dari satu tingkat ke tingkat lain.

“Perkara ini pernah berlaku apabila saudara datang ke Kuala Lumpur dan kebetulan meninggal dunia di rumah saya.

“Jenazah saudara terpaksa diusung menggunakan tangga dan pelbagai lagi kejadian yang menyedihkan untuk diceritakan. Saya berharap ada campur tangan menteri dan pihak berkuasa untuk membantu penduduk di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap JMB Pangsapuri Taman Miharja Fasa Dua menafikan lif itu tidak berfungsi selama tiga tahun dan pihaknya selalu membuat penyelenggaraan berkala.

“Lif di pangsapuri itu kerap rosak berikutan sudah terlalu lama dan kaedah terbaik adalah menukar lif baru, bagaimanapun ia menelan belanja yang banyak untuk berbuat demikian,” katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 11:10am
d