mutakhir

Remaja lembam kantoi lumba motor

Sungsi Petani: Menunggang motosikal dengan kelajuan 150 kilometer sejam serta melakukan aksi mengangkat roda depan dan meniarap.

Itu ‘kehebatan’ remaja orang kurang upaya (OKU) lembam berusia 18 tahun ditahan polis trafik bersama empat rakannya ketika asyik berlumba di Jalan Lagenda Height, di sini, jam 3.30 pagi semalam.

Kelima-limanya yang berusia 17 tahun hingga 27 tahun ditahan pada Op Samseng Jalanan dijalankan di Kilometer 56, Jalan Alor Setar-Butterworth serta beberapa lokasi sekitar bandar ini.

Operasi disertai 38 anggota dan enam pegawai Trafik Kuala Muda bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan sukarelawan Polis Diraja Malaysia.

Remaja OKU itu yang ditemui wartawan Harian Metro berkata, dia mula berlumba lebih setahun lalu menggunakan Yamaha LC135 yang diubah suai bagi menambah kelajuan.

Katanya, motosikal itu dibeli dengan harga RM4,000 hasil tabungan upah menjual nasi lemak bersama rakan serta wang bantuan bulanan OKU RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selepas berniaga, saya menghabiskan masa bersama rakan untuk menguji kelajuan motosikal. Biasanya, kami berlumba pada malam Jumaat dan Ahad, ia sekadar untuk berseronok.

“Tidak laju, cuma 150 kilometer sejam. Tidak sangka saya ditahan anggota trafik, selalunya saya dapat lepaskan diri kerana rakan beritahu ada operasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Mud, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, terdahulu pihaknya mengesan perlakuan remaja OKU itu bersama rakannya berlumba selain melakukan pelbagai aksi berbahaya di lokasi terbabit.

“Selepas pengecaman terhadap OKU terbabit dan empat rakannya, kami mengekori motosikal mereka sebelum memintas dan menahan mereka secara berasingan sekitar Village Mall dekat Lagenda Height.

“Kelima-limanya dibawa ke Balai Trafik Kuala Muda untuk tindakan lanjut dan direman tiga hari mulai hari ini (semalam),” katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 11:28am
d